ESU Malaysia - Press Release

Selasa 8 Oktober, 2002
ESU DITUBUH BANTU TINGKAT PENGUASAAN BAHASA INGGERIS
KUALA LUMPUR : Kesatuan Penutur Bahasa Inggeris Malaysia (ESU) yang bakal ditubuhkan di negara ini merupakan satu lagi alternatif dalam usaha membantu mempertingkatkan penguasaan dan pengunaan bahasa itu di kalangan masyarakat.
Pengerusinya, Tan Sri Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja’afar berkata, ESU merupakan sebuah saluran yang membantu memperluaskan kaedah penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris secara ‘ fun learning’ kepada ahli-ahlinya.
“Kami bukannya memberi pendidikan secara khusus sebagaimana guru-guru, tetapi melakukannya menerusi pelbagai aktiviti bulanan dan harian seperti pengucapan awam, persidangan , dialog , penulisan esei dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Diraja Selangor, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan ESU, Dr Anuar Osman dan Setiausaha ESU, Jaffri Amin Osman.
ESU katanya, merupakan sebuah badan bebas yang tidak berpaksikan politik atau pendidikan , mempunyai keahlian di 51 negara serta beribu pejabat di Dartmouth House di London.
Tuanku Naquiah berkata, beliau melihat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat khususnya para pelajar semakin menurun semenjak tahun 1970.
Tambahnya, keadaan ini berlaku mungkin akibat dasar kerajaan yang menumpukan perhatian terhadap bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
“Adalah penting dinyatakan di sini, kita bukannya ketepikan bahasa Malaysia, tetapi kepentingan bahasa Inggeris perlu dilihat sebagai sebuah bahasa global yang dituturkan oleh lebih satu bilion masyarakat sebagai bahasa perdagangan, bahasa perniagaan, dan bahasa teknologi,” katanya.
Tambahnya, bahasa Inggeris adalah bahasa kemahiran yang memerlukan latihan secara berinteraksi dengan orang ramai agar mahir menggunakannya.
Beliau berkata, adalah baik jika seseorang itu mahir bertutur dan menguasai lebih daripada dua bahasa untuk bergerak di dunia yang luas.
Dalam pada itu katanya, ESU juga akan mengadakan perbagai aktiviti mengiatkan pengunaan bahasa itu di kawasan- kawasan luar bandar melalui cawangan-cawangan yang akan dibuka di setiap negeri.
Beliau juga mengalu-alukan penyertaan semua golongan masyarakat.
Yuran pendaftaran untuk menyertai ESU ialah RM10 untuk mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, RM30 untuk mereka yang berumur 25 hingga 60 tahun dan RM 20 untuk yang berumur 60 tahun keatas. Bagi mereka berumur dibawah 18 tahun, penyertaan adalah percuma.
ESU katanya akan dilancarkan pada 2 November nanti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Rais Yatim.
> Back |